Oleh Zainal AS Rashid
JOHOR masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 38,000 di 210 pusat pemindahan sementara (PPS).
Batu Pahat kekal sebagai daerah paling teruk terjejas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan berkata setakat pukul 10.00 pagi Selasa (7 Mac), jumlah yang dipindahkan di sembilan daerah di seluruh Johor ialah seramai 38,620 mangsa.
Batu Pahat juga mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 22,209 mendapat perlindungan di 76 PPS.
“Ini diikuti Muar (4,094), Segamat (4,036), Kluang (2,591), Tangkak (2,584), Kota Tinggi (1,754), Mersing (1,164), Pontian (150) dan Johor Baru (38),” kata kenyataan itu.
Sebanyak lima kematian direkodkan setakat ini di Johor akibat banjir.
“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan akan berlaku di Mersing dan Kota Tinggi manakala daerah lain dijangka mengalami cuaca lebih baik,” katanya.
-BTS Media