PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang Senator Datuk Dr Dominic Lau mengkritik penyingkiran empat ADUN BERSATU dari Dewan Undangan Negeri (DUN), dan berkata ia adalah satu sejarah hitam di negeri itu.
“Demokrasi sudah mati. Ini tidak adil,” kata Lau kepada wartawan di luar DUN.
Terdahulu, DUN Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam), Zolkifly Lazim (Teluk Bahang), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) kerana melompat parti.
Semua mereka memenangi kerusi itu dalam PRU14 atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Lau berkata, Khaliq dan Zolkifly memang ahli BERSATU.
“Bagaimana mereka boleh dituduh melompat parti?”
Presiden Gerakan itu berkata, untuk kes Afif dan Zulkifli, mereka dipecat oleh PKR.
“Atas sebab itu, tanggapan bahawa mereka bersalah kerana melompat parti adalah bercanggah dengan undang-undang anti-lompat parti persekutuan.
“Jelas ia berat sebelah,” katanya, yang menambah perlunya memperkemaskan undang-undang anti-lompat parti Pulau Pinang dengan di peringkat persekutuan yang diluluskan dengan kajian mendalam serta perbincangan.
Tambah Lau, penyingkiran empat ADUN itu adalah satu usaha untuk mencemarkan imej PN dan menutup mulut pembangkang.