MENTERI Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau belum melihat surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berhubung kelulusan terhadap usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Untuk berlaku adil beliau akan berhubung dengan pihak yang disebut.
Saifuddin berkata, beliau baru pulang dari urusan di Manila, Filipina dan tidak pernah berkomunikasi dengan mana-mana pihak berhubung perkara itu, lapor FMT.
Menurut Saifuddin lagi, beliau tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai surat JPPM itu, dan akan memanggil ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pegawainya selepas melihat surat berkenaan.
“Saya tidak akan membuat spekulasi sana sini, (tidak akan ikut) dia ni kata ada surat, dia ni kata tidak ada surat.
“Takkan saya nak buat kenyataan teraba-raba begitu,” katanya.
Semalam, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan mendedahkan surat daripada JPPM yang mengatakan UMNO tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi.
Beliau meminta setiausaha agung UMNO menunjukkan salinan yang diperoleh daripada KDN itu.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob meminta Zahid mendedahkan surat tersebut.
Ismail berkata, Zahid perlu menunjukkan surat itu secara terbuka kerana terdapat dua laporan berita berbeza mengenai hasil siasatan JPPM.
Pada Perhimpunan Agung UMNO Januari lalu, UMNO telah meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Bagaimanapun, JPPM pada bulan lalu dilaporkan menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan.
Siasatan dibuat selepas dua ahli UMNO memfailkan aduan kepada JPPM mendakwa tindakan membentangkan usul itu di perhimpunan agung telah melanggar Artikel 10 perlembagaan parti.
-BTS Media