BTS Media

Beri ahli Parlimen kawasan dilanda banjir RM300,000 segera – Muhyiddin

Oleh Yusoff A. Shariff

BEKAS perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan meluluskan segera peruntukan RM300,000 untuk ahli parlimen kawasan yang dilanda banjir.

Ketika membahaskan Belanjawan  2023 di Dewan Rakyat, Muhyiddin berkata jumlah tersebut boleh disalurkan terus kepada mangsa banjir oleh ahli parlimen masing-masing kerana keadaan banjir di Johor disifatkan sebagai teruk.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab (kerajaan) untuk membantu mereka yang terjejas oleh bencana alam tersebut, tanpa mengira perbezaan politik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut mencadangkan supaya Putrajaya menaikkan peruntukan bantuan banjir sebanyak RM50 juta kepada RM100 juta untuk Johor, memandangkan banjir telah memaksa hampir 50,000 dipindahkan.

“Saya berterima kasih kepada perdana menteri kerana meluluskan serta-merta RM50 juta (bantuan banjir) untuk Johor, tetapi saya mencadangkan kerajaan menaikkan ini kepada RM100 juta,” lapor Bernama.

Seramai 53,040 penduduk di tiga negeri telah dipindahkan akibat banjir. Johor negeri paling teruk terjejas apabila 49,410 orang dipindahkan ke pusat pemindahan.

Di Pahang, kira-kira 3,029 orang dipindahkan, manakala Melaka melaporkan 601 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

-BTS Media

Leave a Comment