BTS Media

Banjir: Lebih 36,000 mangsa dipindahkan ke PPS di lima negeri

JUMLAH mangsa banjir di Johor masih buruk pada pagi Jumaat, sementara di empat negeri lain bilangan terus meningkat.

Keadaan banjir di JOHOR dilaporkan bertambah serius dengan seramai 33,149 orang dipindahkan setakat pukul 8.00 pagi hari ini, berbanding 28,486 orang pada 8 malam semalam.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata 19 lagi pusat pemindahan telah dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 217 di 10 daerah.

Segamat daerah paling teruk terjejas dengan 12,186 orang daripada 3,519 keluarga mendapat perlindungan di 77 pusat perlindungan sementara (PPS), diikuti Kluang dengan 5,174 orang daripada 1,507 keluarga di 38 pusat dan Batu Pahat membabitkan 4,340 orang daripada 1,174 keluarga di 24 pusat, lapor BERNAMA.

Di Kota Tinggi sejumlah 3,689 orang daripada 971 keluarga berada di 19 pusat; Muar (2,829 orang daripada 836 keluarga di 18 pusat); Tangkak (1,999 orang daripada 541 keluarga di 19 pusat); Johor Bahru (1,216 orang daripada 356 keluarga di enam pusat; Mersing (722 orang daripada 214 keluarga di lapan pusat); Kulai (630 orang daripada 156 keluarga di tiga pusat); dan Pontian (364 orang daripada 90 keluarga di lima pusat).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri PAHANG melaporkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke 30 PPS pagi ini meningkat kepada 2,031, berbanding 1,769 orang di 27 malam tadi.

Di Rompin, 1,355 orang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini berbanding 1,068 malam tadi, manakala mangsa banjir di Pekan seramai 106 orang, Jerantut (96), Raub (68) dan Bera (29).

Bagaimanapun, jumlah mangsa yang dipindahkan di Maran menurun kepada 355 orang daripada 402 orang malam tadi, manakala Temerloh daerah terbaharu dilanda banjir apabila pusat pemindahan dibuka awal pagi ini untuk menempatkan 22 orang.

Di NEGRI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata seramai 1,061 orang daripada 301 keluarga ditempatkan di 12 pusat di Tampin dan Jempol setakat pukul 8 pagi hari ini.

Pusat di SK Kelamah mencatatkan bilangan tertinggi, iaitu 540 orang daripada 138 keluarga.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di MELAKA meningkat kepada 144 orang daripada 35 keluarga pada pukul 8.00 pagi hari ini berbanding 78 orang daripada 20 keluarga pada 8 malam semalam.

Dalam satu kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Melaka, berkata 12 orang daripada enam keluarga dipindahkan ke Balai Raya Bukit Tambun di daerah Alor Gajah.

Di Jasin, seramai 132 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di tiga pusat, iaitu SK Chohong, SK Seri Mendapat dan SK Parit Penghulu.

Kawasan terjejas di Alor Gajah melibatkan Kampung Bukit Balai, Kampung Bukit Tambun, Kampung Gadek, Kampung Panchor, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau.

Di Jasin, kawasan terjejas ialah Kampung Sungai Dua Asahan, Kampung Pondok Batang, Kampung Bukit Asahan, Kampung Chohong, Sempang Bekoh, Kampung Tersusun Seri Mendapat, Kampung Janda Berhias, Kampung Parit Penghulu dan Kampung Tasik.

Di SARAWAK, 43 orang daripada 18 keluarga  dipindahkan di kawasan Engkelili dan Julau.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Sarawak melaporkan bahawa 25 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di Dewan Johnical Rayong di Engkelili, manakala 18 orang daripada enam keluarga dipindahkan ke Kompleks Sukan Julau.

-BTS Media

Leave a Comment