BTS Media

NUTP lahir kebimbangan guru dipanggil balik semasa cuti penggal

GAMBAR ATAS: NST

 

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) melahirkan kebimbangan susulan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung tindakan memanggil balik guru sekolah semasa cuti penggal.

Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon berkata pertubuhan itu tidak mahu semua guru dipanggil semula untuk bekerja tanpa justifikasi.

“Biasanya, hanya guru berperanan pentadbiran tertentu yang memerlukan kerja semasa cuti penggal dipanggil semula, dan ini tidak sepatutnya melibatkan pengajaran. Selain itu, guru hanya boleh dipanggil semula bekerja untuk satu perempat daripada cuti penggal sekolah, mengikut ketetapan rasmi, ” katanya kepada New Straits Times.

Fouzi berkata walaupun guru biasa hanya mendapat cuti semasa cuti sekolah, guru besar dan pengetua sekolah tertakluk di bawah sistem berbeza, di mana mereka mempunyai cuti tahunan untuk mengambil cuti kerja dan perlu bertugas semasa cuti sekolah untuk menguruskan hal pentadbiran.

Seorang guru sekolah rendah di Kuala Lumpur, Noor Atikah, berkata  dipanggil semula semasa cuti penggal adalah perkara biasa untuk membuat persediaan bagi tahun baru persekolahan.

Bagaimanapun, seorang guru sekolah menengah di Selangor yang enggan namanya disebut, berkata ada juga sekolah yang tidak berbuat demikian, kecuali pentadbir yang biasanya bergilir-gilir masuk semasa cuti sekolah.

Lim memetik Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017, yang menyatakan bahawa guru boleh bertugas pada cuti penggal untuk tempoh tidak melebihi separuh daripada cuti penggal persekolahan bagi menjalankan tugas seperti menyelia peperiksaan, mesyuarat dan kursus.

-BTS Media

Leave a Comment