SEGAMAT: Sepasang suami isteri bersama tiga anak dan seorang lagi ahli keluarga terperangkap di atas bumbung rumah mereka di Kampung Jawa, Chaah, dekat sini apabila petempatan itu dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.
Azizah Bani, 53, berkata dia terpaksa memecahkan bumbung rumah mereka di Jalan Sidek, berhampiran Masjid Chaah itu sebelum bersama abangnya, suami dan tiga anak memanjat keluar untuk menyelamatkan diri apabila rumah mula ditenggelami air, kira-kira jam 8 pagi tadi.
Dia turut menggunakan laman Facebook melalui tayangan video secara terus, meminta diselamatkan dengan segera.
“Saya mohon bantuan segera untuk selamatkan saya sekeluarga atas bumbung ini. Tolong hantar bantuan helikopter dengan kadar segera. Kami sehelai sepinggang, tiada makanan minuman dan basah akibat hujan lebat.
“Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azizah berkata, dia juga sudah menghubungi pihak bomba serta talian kecemasan 999 beberapa kali bagi memohon bantuan dan diberitahu sekitar bandar Labis turut terjejas teruk akibat banjir.
Sementara itu, BH difahamkan, pihak berkuasa berkaitan juga menerima beberapa laporan mengenai mangsa banjir terperangkap di atas bumbung kediaman berikutan cuaca semakin buruk, namun misi menyelamat sudah dan sedang digerakkan.