Oleh Zainal AS Rashid
JOHOR BAHRU: Sebuah bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor bersama empat kru, dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Tanjung Pengelih ke Pangkalan Tampoi, petang Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 mengenai kehilangan bot itu, pada pukul 7.51 malam tadi.
Beliau berkata, bot dengan nombor pendaftaran PL87 bersama empat kru tidak dapat dihubungi.
“Bot dan empat krunya gagal dikesan selepas berlepas dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, sekitar jam 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya tiba di Pangkalan Tampoi pada jam 6.30 petang semalam.
Dalam satu kenyataan pada Rabu (1 Mac), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan bot yang dilaporkan hilang itu.
Nurul Hizam berkata, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op Carilamat bermula pukul 8 malam tadi.
Maritim Malaysia menggerakkan bot Pengawal 46 dan bot Kilat 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang hilang.
“PPM Wilayah 2 turut menggerakkan tiga aset mereka bagi membantu pencarian.
“Lokasi pencarian ditumpukan pada sekitar perairan Tuas, Singapura dan Tanjung Piai.
“Ia berikutan maklumat diterima dari pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir Bot PL87 itu dikesan di perairan Tuas sekitar jam 3 petang semalam,” katanya.
Menurut Nurul Hizam, MRCC Putrajaya juga telah berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia sekiranya terdapat maklumat atau pengesanan lanjut mengenai bot PL87 di perairan negara jiran.
-BTS Media