BTS Media

Bot bersama empat kakitangan Jabatan Perikanan Johor ditemukan berhampiran Pulau Batam

SEMUA GAMBAR: Jabatan Perikanan Johor.

 

Oleh Fetty Rara

ISKANDAR PUTERI: Empat kakitangan Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang apabila bot PL87 dinaiki mereka terputus hubungan sejak Selasa, ditemukan selamat pada kedudukan kira-kira 13 batu nautika dari lokasi terakhir mereka berada.

Fatimah Razak, 36, yang mengetuai bot berkenaan, bersama tiga kru lain, Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53, ditemukan oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) berhampiran Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia, pada pukul 1.45 tengah hari semalam (Rabu).

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata bateri itu mengalami kerosakan hingga tidak dapat berfungsi sebelum dihanyutkan.

Beliau memberitahu media  di Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai bahawa semua kru berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Pada masa berita dilaporkan semalam bot tersebut masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang menguruskan untuk membawa pulang semua keempat-empat orang itu dengan kerjasama TNI.

“Bot PL87 kini dalam proses pembaikan oleh TNI, jika ia boleh dibaiki, bot akan bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita.

Pada hari Selasa, bot yang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi menuju ke Pengkalan Jabatan Perikanan di Tampoi, Johor Bahru, gagal dikesan pada kira-kira pukul 3.00 petang.

Bot berkenaan dijadualkan tiba di Tampoi pada pukul 6.30 petang.

Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan bermula pukul 8.00 malam  membabitkan kawasan seluas kira-kira 47 batu nautika.

Lapan aset digerakkan, termasuk helikopter APMM, bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi SAR ini,” katanya yang menamatkan SAR kes berkenaan pukul 2 petang semalam.

-BTS Media

Leave a Comment