BTS Media

Wan Saiful mahu dibicarakan, mengaku tidak bersalah

GAMBAR ATAS: The Star.

 

Oleh Zainal AS Rashid

KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dua pertuduhan rasuah membabitkan kira-kira RM6.9 juta  dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi di Kuala Lumpur pada Selasa (21 Feb), lapor The Star.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Saiful, 48, didakwa meminta rasuah daripada seorang individu sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (CH 0-CH 8050) daripada kerajaan melalui pra-kelayakan di mana jumlah keseluruhan bernilai RM232,000,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Royal Lake Club pada April tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa menerima suapan sebanyak RM6,962,694.54 untuk dirinya sendiri melalui akaun CIMB milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Nepturis Sdn Bhd.

Wang itu didakwa sebagai dorongan kepada Wan Saiful untuk membantu Nepturis mendapatkan surat penerimaan bagi projek Central Spine Road.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16a(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, Wan Saiful berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan antara RM500,000 dan RM1 juta atas alasan tertuduh didakwa melakukan kesalahan serius.

Beliau bagaimanapun berkata, Wan Saiful telah memberikan kerjasama kepada SPRM semasa siasatan.

“Saya minta mahkamah mengenakan syarat tambahan bagi tujuan jaminan.

“Tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada pejabat SPRM setiap bulan,” kata pendakwa raya.

Peguam Wan Saiful, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, meminta jumlah jaminan yang lebih rendah antara RM200,000 dan RM300,000.

Beliau berkata tujuan ikat jamin adalah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan pihak pendakwaan sendiri telah menganggap tertuduh sebagai orang yang tidak berisiko untuk menghilangkan diri dan telah bekerjasama dengan SPRM.

“Kedua -dua akaun banknya telah dibekukan oleh MACC.”

Isterinya tidak sihat dan menjalani kemoterapi. Oleh itu, wang diperlukan untuk tujuan ini,” kata Hisyam.

Hisyam juga memohon mahkamah membenarkan anak guamnya melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali dan bukannya sebulan sekali.

Azura menetapkan ikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan Wan Saiful menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan membenarkannya melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 22 Mac.

-BTS Media

Leave a Comment