Oleh Yusoff A. Shariff
SEORANG penyelidik yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merasuah Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan sebanyak RM10 juta telah memohon maaf di Facebook.
Mohamad Shafiq Abdul Halim, seorang penyelidik bebas yang bekerja untuk Wan Saiful, mendakwa dia tersilap bercakap dalam video TikTok sepanjang 44 saat berhubung khabar angin yang didengarnya di mahkamah, lapor The Star.
” Saya memohon maaf kepada pihak SPRM kerana provokasi politik yang mencetuskan perbalahan dan saya terlepas cakap berkaitan RUMORS (khabar angin) di mahkamah yang kononnya pihak SPRM menawarkan sejumlah wang RM10 juta untuk Datuk Wan Saiful Wan Jan mengubah kenyataannya..
” Saya tidak berniat menuduh mana-mana pihak, termasuk Tan Sri Azam Baki di mana video tersebut telah dipotong oleh cyber troopers Pakatan Harapan dan disebarkan seolah-olah saya hanya menyebut SPRM menawarkan RM10 juta kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan,” dakwanya dalam catatan Facebook pada Selasa (21 Feb).
“Wartawan menghubungi saya dan saya menjelaskan ia adalah perang mulut di media sosial dan saya turut menyatakan ia ADALAH RUMORS (khabar angin) dan saya akan mendapatkan kepastian dari Datuk Wan Saiful Wan Jan seperti lampiran Whatsapp mesej,” katanya.
Azam, yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘dakwaan liar’, menyelar khabar angin bahawa pihaknya menawarkan Wan Saiful RM10 juta untuk mengeluarkan kenyataan bahawa dia menerima rasuah atas arahan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu terbabit.
-BTS Media