Oleh Fetty Rara
SEORANG ahli perniagaan dan pemilik agensi pekerjaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah bagi membantu majikan atau ejen mendapatkan kuota pekerja asing.
Ini berlaku selepas lapan individu ditahan pada Rabu (3 Ogos), termasuk seorang ketua pegawai eksekutif syarikat teknologi.
Menurut sumber, kedua-duanya berusia antara 30 dan 50 tahun dan ditahan pada pukul 10 malam dan 12.00 pagi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Sumber itu berkata, ahli perniagaan berkenaan disiasat berhubung rasuah berjumlah lebih RM1 juta daripada ejen pekerjaan, manakala seorang lagi disyaki memberi rasuah kepada syarikat yang menyediakan platform untuk permohonan pekerja asing.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman tiga hari bermula Khamis (4 Ogos) hingga Ahad (7 Ogos) selepas SPRM memohon perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Pada Rabu, SPRM menahan lapan individu; enam direman selama tiga hari manakala dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita, dibebaskan dengan ikat jamin selepas keterangan mereka direkodkan.
Pengarah Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan reman itu dan siasatan sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
-BTS Media