GAMBAR ATAS: Roketkini.
SEORANG bekas peguam yang kini menjadi Exco kerajaan Perak didapati bersalah atas salah laku profesional ketika mewakili seorang lelaki di Mahkamah Perusahaan 13 tahun lepas.
Sidang tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Nallini Pathmanathan mengenakan denda RM10,000 ke atas A Sivanesan, yang juga Adun Sungkai.
Nallini berkata Mahkamah Rayuan mesti berhati-hati untuk campur tangan dalam penemuan fakta dibuat oleh jawatankuasa lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara.
“Dalam kes ini, nota prosiding dan kurniaan Mahkamah Perusahaan mengesahkan asas bagi penemuan fakta jawatankuasa tatatertib.
“Tiada asas untuk Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan berhubung peristiwa pada 6 April 2010 semata-mata atas keterangan saksi lain,” katanya ketika membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam dan K Pathmanathan.
Nallini, yang bersidang bersama Hakim Vernon Ong dan Harmindar Singh Dhaliwal, berkata Mahkamah Rayuan menggunakan pendekatan dangkal apabila memutuskan Sivanesan tidak bertindak untuk Pathmanathan semata-mata kerana Borang A dan B tidak diserahkan di Mahkamah Perusahaan.
“Hakikatnya tiada locus standi disebabkan tidak mengisi borang bukan suatu isu,” katanya.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan gagal memahami bahawa Sivanesan bertindak untuk Pathmanathan malah memberi aku janji untuk memfailkan borang diperlukan bagi pelantikannya walaupun tidak mempunyai arahan untuk berbuat demikian.
“Oleh itu, jawatankuasa tatatertib wajar dalam membuat keputusannya,” katanya.
Nallini berkata, Sivanesan sepatutnya memaklumkan kepada Pathmanathan tarikh perbicaraan baharu yang ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan, tetapi gagal berbuat demikian.
“Tidak kira sama ada dia boleh atau tidak mendapatkan borang ditandatangani, menjadi tanggungjawabnya untuk memaklumkan Pathmanathan mengenai tarikh perbicaraan kerana dia telah mengambil tanggungjawab untuk bertindak sebagai peguamnya,” katanya ketika mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah juga memutuskan wajar untuk Majlis Peguam menjadi pihak dalam rayuan itu memandangkan peranan tatatertib dan penasihatnya terhadap peguam.
Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengesahkan dapatan lembaga tatatertib yang mendapati Sivanesan bersalah atas salah laku profesional.
Lembaga itu membuat keputusan muktamad selepas mempertimbangkan cadangan oleh jawatankuasa tatatertib.
Prosiding tatatertib itu dibawa oleh Pathmanathan yang mendakwa Sivanesan melakukan pelbagai pelanggaran terhadap Akta Profesion Undang-undang dan peraturan etikanya.
Dalam laporannya yang dikeluarkan pada Ogos 2018, jawatankuasa tatatertib mengenal pasti beberapa salah laku yang dilakukan oleh Sivanesan.
Ini termasuk memperdaya Mahkamah Perusahaan untuk mempercayai dia bertindak untuk Pathmanathan, gagal mematuhi aku janji yang diberikan kepada mahkamah untuk memfailkan borang diperlukan untuk mengesahkan pelantikannya, serta gagal hadir dan bersedia untuk perbicaraan.
Pathmanathan memfailkan aduan terhadap Sivanesan pada 13 Jun 2016, selepas Mahkamah Perusahaan membatalkan tuntutan pemecatan tidak adil kerana ketidakhadirannya di mahkamah.
Beliau mendakwa Sivanesan gagal memaklumkan tarikh perbicaraan, tetapi mengakui tidak melengkapkan Borang A dan B untuk melantik peguam itu bertindak bagi pihaknya.
Sivanesan diwakili peguam R Kengadharan, L Nagarajan, S Muhendran, dan S Lavenyia, manakala Heng Yee Keat mewakili Majlis Peguam.
Pathmanathan dianugerahkan kos RM20,000.