BTS Media

Gempa Turkiye: Pasukan SMART selamatkan lima sekeluarga

GAZIANTEP (TURKIYE): Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berjaya mengeluarkan lima sekeluarga dengan selamat.

Mangsa sebelum ini terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman mereka sejak enam hari lalu akibat gempa bumi dahsyat di Turkiye.

Pegawai operasi mencari dan menyelamat (SAR) MAS-01 SMART, Inspektor Muhamad Zul Khairi Idris, berkata seorang remaja lelaki, dibawa keluar pada pukul 1.20 tengah hari (6.20 petang waktu Malaysia), lapor Bernama.

Seorang demi seorang mangsa yang terdiri daripada si kakak, ibu, kakak sulung dan bapa dibawa keluar pada pukul 2.20 petang (7.20 malam waktu Malaysia) dan kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan tempatan.

Terdahulu, pasukan SMART seramai 24 anggota bersama anjing pengesan (Frankie) bergerak ke lokasi runtuhan terbabit yang merupakan kawasan baharu hasil maklumat daripada pasukan peninjau yang terletak 1.3 kilometer dari kem pasukan penyelamat negara di Stadium Nurdagi, pada pukul 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).

Lima mangsa itu merupakan kumpulan mangsa pertama ditemukan selamat oleh pasukan SAR negara sejak tiba di Turkiye.

Secara keseluruhan ketika berita ini dibuat, pasukan penyelamat negara telah mengeluarkan 25 mayat dan lima mangsa hidup.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, telah meragut ribuan nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

– BTS Media

Leave a Comment