TINDAKAN kerajaan mahu membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara, disifatkan sebagai ‘kerja buang masa’.
Mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata isu perolehan vaksin telah dibawa ke perhatian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2021 dalam laporan setebal 521 muka surat, mengesahkan ianya dibuat secara teratur.
Katanya, Pengerusi PAC pada ketika itu ialah Ahli Parlimen DAP, Wong Kah Woh dan Nurul Izzah Anwar adalah anggota PAC pada masa itu.
“Saya tak faham kenapa kabinet seperti yang diumumkan oleh PMX buat keputusan untuk bentang kertas putih mengenai perolehan vaksin. Kononnya perolehan dibuat dengan tidak teratur tanpa kelulusan Peguam Negara.
“Keputusan perolehan vaksin telah dibawa ke kabinet untuk kelulusan. Biasanya agensi-agensi berkaitan beri ulasan terlebih dahulu ke atas Memorandum Jemaah Menteri untuk perolehan vaksin.
Saya percaya Jabatan Peguam Negara antara agensi yang beri ulasan.
“Itu hal keputusan kabinet.
“Lebih jelas isu perolehan vaksin telah dibawa ke perhatian PAC pada tahun 2021. Dalam laporan setebal 521 muka surat, PAC mengesahkan bahawa perolehan vaksin telah dibuat secara TERATUR. Pengerusi PAC pada ketika itu ialah Ahli Parlimen DAP, YB Wong Kah Woh. Nurul Izzah juga angggota PAC pada masa itu.
“Jadi, ke mana nak dibuang laporan PAC setebal 521 muka surat itu? Ini semua kerja buang masa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook aemalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memaklumkan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini hari ini, berkata Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.
“KKM akan bentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin dan kos yang berkaitan, sebahagiannya tidak mengikut peraturan dan ditandatangani menteri tanpa persetujuan Peguam Negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan memperincikan perkara terbabit apabila Kertas Putih berkenaan dibentangkan nanti.
-BTS Media