BTS Media

Kerugian RM157 juta UiTM Holdings: KPT sambut baik siasatan

Oleh Yusoff A. Shariff

SEBARANG bentuk siasatan berikutan dakwaan kelemahan pengurusan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings disambut baik oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin ini kerana kementerian itu memberi penekanan khusus terhadap nilai integriti dan tadbir urus di universiti.

Beliau berkata kementerian tidak akan bertolak ansur dalam hal ini, dan mahukan supaya pihak berkaitan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Selain siasatan yang dijalankan, kementerian akan menyemak dan menambah baik garis panduan yang telah ditetapkan berhubung pengurusan syarikat induk universiti serta mengukur pematuhan syarikat berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam (7 Feb).

Terdahulu, berita yang disiarkan oleh media tempatan pada awal Selasa mendakwa jumlah itu berdasarkan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun, iaitu 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi tahun 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.

UiTM Holdings Sdn Bhd yang menguruskan lapan syarikat merangkumi sektor tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi dan kreatif ialah syarikat pemegangan pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh UiTM.

-BTS Media

Leave a Comment