BTS Media

Mahkamah tolak petisyen calon BN, Mas Ermieyati sah Ahli Parlimen Masjid Tanah

MAHKAMAH Pilihan Raya hari ini, mengisytiharkan pemilihan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah sah.

Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis, membuat keputusan itu selepas membatalkan dengan kos terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid, bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati (responden).

Dalam keputusannya yang berpandukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, hakim berkata, mahkamah menerima dua daripada empat isu dibangkitkan peguam responden iaitu petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan mengikut seksyen 38 akta sama.

Katanya, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah, termasuk fakta bagaimana beberapa individu dinamakan dalam petisyen itu mempunyai hubungan dengan responden atau dilantik sebagai ejennya.

Katanya, selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati bahawa dua daripada empat isu dibangkitkan responden mempunyai merit, iaitu petisyen berkaitan dakwaan rasuah wang dan jamuan difailkan di luar masa ditetapkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu dalam tempoh 28 hari dari tarikh pembayaran atau perlakuan rasuah berlaku.

Katanya, mahkamah juga berpuas hati pempetisyen (plaintif) gagal memperjelas dakwaan rasuah termasuk fakta bagaimana ia memberi kesan kepada kemenangan responden dengan majoriti 4,411 undi dan kaitan beberapa individu dinamakan dalam petisyen dengan Mas Ermieyati, sekali gus menyebabkan petisyen itu tidak sah dan cacat.

“…tiada bukti sehingga boleh dijangkakan dengan munasabah ia telah menyentuh keputusan pilihan raya itu dan oleh kerana ini mahkamah berpendapat plaintif gagal memenuhi peruntukan Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

“Mahkamah dengan ini membatalkan petisyen ini dengan kos RM20,000 dibayar kepada responden dan mengikut Seksyen 36 (1), saya mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya PRU-15 adalah sah,” katanya.

Anslem bagaimanapun berkata, mahkamah berpendapat hujah responden mengenai kegagalan pempetisyen menamakan pegawai pengurus pilihan raya dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen itu serta isu pelantikan peguam tidak distem tidak mempunyai merit.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15 lalu.

Abdul Hakim memfailkan petisyen itu melalui peguam, Rosfinah Rahmat, sebelum Mas Ermieyati mengemukakan bantahan awal melalui peguamnya, Mohd Faizi Che Abu.

Pada PRU-15, Mas Ermieyati (PN-BERSATU) menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (Muda) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang).

 

Leave a Comment