BTS Media

Terdesak nak undi orang Melayu sehingga terpaksa calarkan imej Bersatu: Khairy

KERAJAAN perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dianggap terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti hingga dikatakan terpaksa bertindak mencalarkan imej parti pembangkang, Bersatu.

Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO yang dipecat, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hakikatnya kerajaan campuran itu tidak mendapat sokongan orang Melayu, hinggakan parti UMNO yang merupakan komponen sekutunya di bawah pimpinan Ahmad Zahid Hamidi sendiri ditolak oleh majoriti.

“UMNO sekarang ini tidak membawa nilai tambah kepada PH, liabiliti adalah.

Khairy memetik Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (UNARI) University of  Nottingham, Bridget Welsh yang berkata, “Jika PH dengan 11 peratus undi Melayu, nak tambah sokongan daripada orang Melayu bukan dengan UMNO.”

Beliau berkata demikian pada satu program wawancara anak muda di Kuala Lumpur malam tadi.

Khairy, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, menyedari UMNO tidak akan memberi nilai tambah kepada mereka dalam menghadapi PRN, maka itu sebabnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terpaksa memberi tekanan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dengan tindakan mencalarkan imej mereka melalui siasatan agensi kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor agendadaily.com.

“Jadi, sebab itulah hari ini kita dengar dalam berita, apa sahaja perlu dilakukan untuk menjatuhkan PN… Apabila nampak gelombang itu kuat sangat, dia (PH) main SPRM sebab dia rasa orang Melayu ini dah menolak UMNO dan langkah seterusnya adalah mencalarkan PN pula.

“Dia juga menggambarkan PN juga hoi ya hoi juga, jadi kita tunggu dan lihatlah beberapa hari ini apa yang akan berlaku,” katanya lagi.

Kelmarin, media melaporkan SPRM membekukan beberapa akaun milik Bersatu yang dikatakan ada kaitan dengan dana RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Menurut agendadaily, laporan media berhubung pembekuan akaun parti Bersatu itu kebetulan pula selepas kecoh isu lantikan anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar.

Pada masa sama, bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,  Datuk Dr Marzuki Mohamad telah berkongsi penyata akaun yang sudah diaudit sebagai respons kepada pelbagai dakwaan kononnya parti Bersatu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Bagi yang tuduh Bersatu terima RM4 bilion dari RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi boleh lihat penyata akaun parti tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit.

“Akaun yang diaudit ini telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Ia telah difailkan di ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan merupakan dokumen awam. Tak boleh tipu punya,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment