Oleh Zainal AS Rashid
PENUMPANG yang terpaksa beratur panjang bagi pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam mengecam pihak Imigresen kerana keadaan itu.
Mereka turut melahirkan rasa marah kerana terpaksa menunggu berjam-jam untuk melepasi proses imigresen.
Mereka berkata, keadaan ini boleh dielakkan jika proses sistematik dilakukan di setiap lapangan terbang, lapor NST.
Pengguna Facebook Dingum Ting (@dingumting) berkata nampaknya tiada penambahbaikan terhadap isu yang telah lama berlarutan ini walaupun ia telah dibangkitkan oleh beberapa pihak.
“Bulan lepas ada menteri memberi amaran, namun tidak ada perubahan sama sekali. Imej Malaysia sudah tercalar oleh imigresen kita.
Dia berkata berjuta-juta telah dibelanjakan untuk menambah baik sistem, tetapi keadaan masih tidak berubah.
Pengguna media sosial @oonkinhong) pula berkata dalam keadaan sebegini pelancong asing akan hilang minat untuk datang ke Malaysia kerana terpaksa menunggu begitu lama di pintu masuk.
Ini kerana pengalaman itu memberikan imej buruk tentang Malaysia.
Seorang lagi pengguna, Daniel Goh (@danielgoh) berkata negara ini terkenal dengan budaya penyelenggaraan dan sistem yang lembab.
Katanya, Malaysia cemerlang dalam membina infrastruktur hebat, tetapi antara yang paling teruk di dunia dari segi operasi, dan penyelenggaraan.
Semalam, NST melaporkan bahawa ramai pelancong yang tiba di KLIA terpaksa menunggu antara satu hingga tiga jam untuk melalui pemeriksaan imigresen.
Ramai pelancong yang terpaksa berbuat demikian melahirkan kemarahan kerana penantian begitu lama tidak sepatutnya berlaku.
Terdahulu, Menteri Pelancongan Tiong King Sing juga menggesa Jabatan Imigresen supaya ditangani prosedur pemeriksaan yang memakan masa begitu lama di KLIA bagi ketibaan ke negara ini.
-BTS Media