GAMBAR ATAS: Malay Mail.
NAIB Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendedahkan beliau dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada ayahnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam satu wawancara dengan The Star, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, pelantikan beliau ke jawatan itu berkuat kuasa 3 Jan lalu.
Beliauberharap pengalamannya sebagai Ahli Parlimen di mana beliau menangani isu seperti kemiskinan dan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET), dan juga pernah berada dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara membantunya menjalankan tugas itu dengan baik.
“Ini menjadi kelebihan kerana saya pernah bekerjasama dengan pakar dalam mengendali tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar berasaskan bukti,” katanya.
Nurul Izzah juga berkata, matlamatnya adalah untuk menyalurkan dan mengumpul bakat Malaysia yang terbaik dan bijak, di luar atau di dalam kerajaan, dan memberi nilai tambah kepada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan situasi ekonomi rakyat.
“Peranan baru ini membolehkan saya mengambil tanggungjawab baharu yang tidak dinafikan lagi mencabar lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang kita hadapi.
“Bagaimanapun, saya yakin mampu memberi menyumbang kepada evolusi sebuah negara yang bukan hanya berkembang semata-mata tetapi turut mengangkat kehidupan semua peringkat masyarakat dan memberi peluang yang sama rata,’ katanya.
Nurul Izzah sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal bermula pada 2008 sebelum berpindah ke Permatang Pauh di mana beliau tewas pada PRU15.