APABILA Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik anaknya, yang baru-baru ini kalah dalam pilihan raya, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, ia bukan sahaja dilihat sebagai nepotisme, tetapi juga menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan ekonomi negara, kata sebuah badan pemikir.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Dr Carmelo Ferlito berkata pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri bercanggah dengan dasar reformis dan perubahan yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduannya.
Ferlito, yang juga felo kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), berkata tindakan Anwar untuk memegang jawatan Menteri Kewangan juga bercanggah dengan pendirian beliau sendiri sebelum ini.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (30 Jan), beliau berkata ramai pemerhati menyatakan bahawa pelantikan sebegitu mengetepikan individu-individu yang lebih berkebolehan.
Ferlito juga menekankan bahawa “tidak banyak perhatian” diberikan kepada pelaksanaan agenda dasar ekonomi yang mantap.
Beliau berkata, sejak beberapa minggu lalu, beberapa kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli didapati bersifat kontroversi dan menunjukkan kelemahan pemahaman teori dan realiti ekonomi.
“Kenyataan sedemikian lebih bersifat untuk mempengaruhi dan bukannya cadangan dasar praktikal dan boleh dilaksanakan untuk menangani kemelesetan ekonomi, seperti yang telah dibangkitkan oleh CME sejak pertengahan 2021,” tambahnya.
Ferlito seterusnya berkata, sejarah gerakan politik dan sokongan di sekeliling Anwar menunjukkan bagaimana perkataan seperti ‘reformasi’ dan ‘bersih’ sering kali digunakan. Ini bermakna kempen dan strategi komunikasinya dikaitkan dengan janji gaya reformis baharu yang dilihat bertentangan dengan rasuah dan nepotisme.
“Nurul Izzah belajar kejuruteraan dan perhubungan antarabangsa, dan tidak mempunyai latar belakang khusus dalam ekonomi atau kewangan – sesuatu yang harus menjadi kemestian bagi seseorang penasihat dan kaunselor.
“Dia menjelaskan bahawa dia tidak akan mendapat gaji untuk pekerjaan itu. Tetapi, terdapat salah faham yang besar (dalam hal ini).
“Kos sebenar politik yang dibayar oleh rakyat bukanlah kos gaji, tetapi akibat daripada dasar yang tidak baik,” kata Ferlito.
Dasar yang tidak baik, katanya, walaupun berniat baik, boleh merosakkan sesebuah negara.
Beliau berkata, ini dapat dilihat apabila dalam tindakan menetapkan harga siling atau melaksanakan larangan ke atas pekerja asing.
“Malaysia tidak mempunyai banyak masa untuk menyelesaikan isu-isu struktur dan bersedia untuk berdepan cabaran ekonomi yang akan datang,” katanya.
-BTS Media