ADALAH tidak munasabah menasihati golongan berpendapatan rendah berhenti membeli barangan bagi mengekang kenaikan harga, kata seorang pakar ekonomi hari ini yang menyifatkannya sebagai penyelesaian terlalu “mudah”.
Cemuhan timbul selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli menasihatkan pengguna supaya mengelak daripada membeli barangan harga tinggi bagi mengekang inflasi.
Bekas pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Noor Azlan Ghazali berkata tindakan sedemikian adalah salah, dan tidak akan menghasilkan keputusan yang diinginkan.
“Dari perspektif ekonomi, mengurangkan permintaan untuk mengekang kenaikan kos adalah terlalu mudah (simplistic).
“Gambaran yang diberikan bahawa ia antara langkah untuk mengekang kenaikan kos. Dalam kes yang melampau, adakah memastikan tiada permintaan akan menjadi cara berkesan untuk mengekang kenaikan harga? Itu bukan caranya,” katanya dalam catatan Facebook.
Azlan berkata kenaikan harga berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan bekalan, sambil menyatakan bahawa pada musim perayaan, permintaan adalah stabil dan tiada lonjakan harga.
Beliau seterusnya merujuk kepada kenaikan harga telur, yang menurutnya mungkin berpunca daripada pembekal.
Azlan berkata ia sama ada disebabkan oleh kurang pengeluaran atau barangan dihantar ke pasaran yang lebih menguntungkan.
Beliau berkata dalam hal ini, ayam dan telur tidak mempunyai sebarang alternatif, jadi memaksa orang ramai untuk tidak membelinya adalah mustahil.
“Kumpulan berpendapatan rendah tidak mempunyai banyak pilihan. Dari sudut ekonomi, seruan Rafizi terlalu mudah. Logik ekonomi sangat penting dalam menangani masalah ini,” kata Azlan.
Tambahnya, pihak berkenaan perlu sentiasa berhati-hati apabila mencadangkan penyelesaian kepada masalah ekonomi.
Azlan mencadangkan kajian tabiat berbelanja dalam kalangan golongan berpendapatan rendah untuk merangka penyelesaian ekonomi yang kukuh.
Pada sidang media semalam, Rafizi dilaporkan berkata bahawa pengguna sebahagiannya dipersalahkan atas kenaikan harga makanan.
Beliau berkata jika pengguna berhenti membeli barangan dengan harga yang tidak munasabah, penjual dan pembekal tidak akan menaikkan harga mengikut kehendak dan keinginan mereka.
-BTS Media