BTS Media

Ismail Sabri dedah lembaga disiplin tak pernah nasihat presiden untuk sebarang tindakan

Oleh Fetty Rara

NAIB Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menyatakan rasa tidak setujunya terhadap keputusan memecat dan menggantung beberapa pemimpin parti.

Dalam satu post Instagram semalam, Ismail menyuarakan rasa terkilannya terhadap tindakan itu kerana ia tidak mengikut peraturan parti dan tidak melalui proses yang sepatutnya.

“Saya tidak setuju dengan keputusan tersebut atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip ‘natural justice’ seperti hak membela diri..

“Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan Presiden untuk sebarang tindakan, namun hanya memaklumkan terdapat laporan terhadap yang dituduh.

Ini bertentangan dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi yang berkata keputusan itu dibuat berdasarkan saranan Lembaga Disiplin UMNO.

Pada Jumaat, bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan bekas ketua UMNO Selangor Noh Omar dipecat kerana dakwaan salah laku, terutamanya dikatakan menentang parti dan pucuk pimpinan semasa pilihan raya umum ke-15.

UMNO juga menggantung bekas naib presiden dan ahli parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, ketua UMNO bahagian Tebrau Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif selama enam tahun.

Terdahulu semalam, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan menjelaskan keputusan parti itu untuk memecat dan menggantung pemimpin berkenaan tidak lama lagi.

Bagaimana pun, sehingga kini tiada butiran lanjut bila Zahid akan mengulas tentang perkara tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ismailsabri60 (@ismailsabri60)

-BTS Media

Leave a Comment