BTS Media

Dengan modal hanya RM30,000, ‘kompleks’ inap desa rumah tradisional Pok Tun kini bernilai RM20 juta

GAMBAR: Warisan Pahlawan Resort.

 

Oleh Zainal AS Rashid

KERANA minat dalam reka bentuk rumah dan ukiran tradisional, seorang warga emas kini berbangga kerana mampu menyiapkan 16 rumah tradisional di kawasan seluas satu hektar di Kampung Pauh, Kuala Berang, Terengganu.

Dengan bermodalkan hanya RM30,000, Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, berkata dia memulakan usahanya itu kira-kira 17 tahun lalu.

Dia berkata pada peringkat awal dia banyak membeli rumah tradisional lama daripada penduduk Terengganu yang kemudian dibaik pulih, lapor Berita Harian.

Dikenali dengan panggilan Pok Tun dalam kalangan masyarakat setempat, dia kini memiliki tiga rumah lama berusia lebih 150 tahun yang masing-masing diberi nama Rumah Tok Pauh, Mat Kilau dan Tok Gajah.

Tanah kawasan pula dibeli secara beransur memandangkan harga tanah sekarang mahal.

Menurut Pok Tun usahanya itu didorong minat mendalam terhadap seni ukiran dan reka bentuk rumah tradisional.

Dia berkata, kini nilai keseluruhan usahanya itu telah mencecah kira-kira RM20 juta.

“Semua 16 rumah tradisional di sini mempunyai nama setiap satunya antaranya Rumah Mat Kilau, Tok Pulau Manis, Tok Gajah, Tok Ku Paloh, Tok Janggut, Sheikh Muhammad Al-Baghdadi, Tok Kenali dan sebagainya.

“Selain nama-nama tokoh pahlawan Melayu, sebuah rumah diabadikan dengan nama saya itu Rumah Tun Ahmad manakala sebuah lagi sempena nama ayah saya yang dinamakan Rumah Tun Abdullah.

“Kesemua rumah yang dibina itu kini dijadikan inap desa dengan kesemuanya mempunyai 50 bilik,” katanya yang sebelum itu berniaga kedai makan.

Pok Tun juga telah membina dewan terbuka dan tertutup di kawasan kompleks rumah tradisional itu.

Selain mempunyai kemahirannya dalam pembinaan rumah tradisional, dia juga mahir dalam seni ukiran yang digunakan pada bahagian rumah dan pada replika rumah tradisional.

“Alhamdulillah, selepas sekian lama berkecimpung dalam pembinaan rumah tradisional, ukiran dan membuat replika rumah tradisional secara sendirian kini saya mampu menerima tempahan untuk membina rumah tradisional,” katanya kepada Berita Harian.

-BTS Media

Leave a Comment