BTS Media

Kanak-kanak terkurung dalam kontena dari Bangladesh enam hari dikeluarkan di Pelabuhan Klang

Oleh Fetty Rara

SEORANG kanak-kanak lelaki warga asing ditemukan di dalam sebuah kontena di dermaga Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa lepas.


Kanak-kanak itu dipercayai terkurung enam hari dalam kontena yang dibawa dari pelabuhan Chittagong, Bangladesh.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata aduan diterima daripada seorang pekerja yang memberitahu tentang penemuan kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 9.00 malam.

“Semasa menguruskan kapal masuk di dermaga Pelabuhan Barat serta pemeriksaan sebuah kontena kosong, lelaki itu mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya,” katanya.

Kanak-kanak tanpa identiti pengenalan itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan dikeadaannya dilaporkan stabil

“Siasatan mendapati sebuah kapal M. Integra telah bertolak dari Chittagong pada 12 Jan membawa kontena mengandungi muatan barangan am dan tiba di Pelabuhan Barat pada Selasa lalu,” katanya.

Kanak-kanak itu berkata dia terkurung dan terkunci di dalam kontena tersebut di Chittagong semasa bermain bersama kawannya.

“Tiada sebarang unsur jenayah di dalam kejadian ini dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai rujuk lain agensi (RLA), iaitu kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menguruskan dokumen mangsa dan menghantar pulang kanak-kanak itu mengunakan kapal kargo yang sama,” katanya.

Video sepanjang seminit mengenai penemuan kanak-kanak dikongsi meluas malam tadi di media sosial.

BTS Media

Leave a Comment