BTS Media

Beri ruang kepada pertandingan jawatan tertinggi UMNO, jangan bunuh demokrasi – Khairy

Oleh Yusoff A. Shariff

BEKAS Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyertai suara-suara yang menggesa supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Melalui satu post di Instagram hari ini, Khairy membidas sekumpulan pemimpin UMNO yang mendakwa mewakili 140 bahagian, menggesa supaya dua jawatan teratas tidak dipertandingkan.

Beliau meminta supaya diberikan ruang kepada pertandingan, dan jangan dibunuh demokrasi dalam UMNO.

Majlis Tertinggi UMNO masih belum menentukan sama ada dua jawatan tertinggi itu boleh  dipertandingkan pada pemilihan parti, yang perlu diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum berakhir.

Khairy adalah antara suara dalam parti yang meminta Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden setelah kekalahan teruk Barisan Nasional pada PRU15.

Beliau juga pernah bertanding untuk jawatan presiden UMNO pada 2018 selepas BN kehilangan kuasa, tetapi dikalahkan oleh Zahid.

Semalam, sekumpulan pemimpin UMNO bahagian yang menggesa Zahid supaya tidak membenarkan sebarang pertandingan untuk dua jawatan teratas, mendakwa parti itu perlu diperkukuhkan memandangkan pilihan raya negeri akan datang di enam negeri.

Jurucakap kumpulan itu, Ketua UMNO Wangsa Maju Shafei Abdullah, mendakwa pada sidang media bahawa mereka mewakili 140 ketua bahagian. Bagaimanapun, jumlah mereka yang hadir kelihatan jauh lebih rendah.

Pada Selasa, Khairy mengakui terdapat kebimbangan bahawa perubahan dalam kepimpinan UMNO boleh menyebabkan parti itu menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, justeru membawa ketidakstabilan politik.

Bagaimanapun, beliau berkata UMNO akan terus menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar “jika saya atau sekutu saya” menjadi presiden parti.

-BTS Media

Leave a Comment