BTS Media

Setelah begitu lama menjadi isu, akhirnya JPJ akan perkenal pelekat ‘road tax’ jenis berkualiti

Oleh Zainal AS Rashid

SETELAH begitu banyak rungutan oleh pemilik kenderaan tentang pelekat cukai jalan berkualiti rendah dan tidak tahan lama, baru sekarang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang untuk memperkenalkan pelekat cukai jalan berkualiti tinggi pada tahun ini.

Inisiatif yang amat dinantikan itu seiring dengan pemberian tumpuan kepada pendigitalan sistem bagi menangani masalah orang ramai yang terpaksa beratur dan menunggu berjam-jam untuk urusan di kaunter.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beliau sudah diberi taklimat oleh JPJ dalam mesyuarat bersama pegawai kanan JPJ sebelum ini.

“Antara agenda utama JPJ tahun ini ialah melaksanakan digitalisasi dalam perkhidmatan teras kepada rakyat seperti pelesenan kenderaan dan pemandu, selain memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Ramai orang mengadu mengenai pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti

“Saya tahu ramai orang mengadu mengenai pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti dan perkara itu memang dalam perhatian kami serta satu perubahan besar akan dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Selasa.

“Saya tidak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat JPJ dan menyusahkan mereka,” katanya.

Masalah pelekat cukai jalan yang rosak dan tidak mampu bertahan cuaca dibangkitkan oleh orang ramai sejak beberapa tahun.

Selain mudah merekah dan berkecai apabila lekang daripada cermin, pelekat pemegang kertas bercetak cukai jalan juga didapati tidak tahan cahaya matahari dan mudah pudar, justeru memberikan masalah bagi pemilik kenderaan yang perlu berkunjung ke kaunter JPJ dan menunggu lama lagi untuk mendapatkan pelekat gantian baharu.

Dalam pada itu, ramai juga yang merungut dan berasa tidak senang kerana untuk mendapatkan pelekat cukai jalan baharu, mereka perlu pula membayar mahal.

Isu beratur panjang di pejabat JPJ masih tidak mampu diselesaikan walaupun era pendekatan digitalisasi pejabat kerajaan telah lama dilaksanakan.

Kelemahan sistem ini menyebabkan ‘ejen’ dan ‘ulat’ terus mengambil kesempatan di pejabat-pejabat JPJ.

-BTS Media

Leave a Comment