BTS Media

Guna dron seludup barang terlarang ke penjara

GAMBAR UDARA: Google Maps.

 

MACHANG: Tindakan berani menggunakan dron untuk memantau kawasan sebelum menyeludup masuk barang terlarang seperti tembakau ke penjara menjadi modus operandi terbaru.

Bagaimanapun tindakan itu berjaya dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan sebelum barang terlarang itu dibawa masuk ke Pusat Pemulihan Akhlak Machang dalam cubaan 12 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata berdasarkan laporan awal suspek menaikkan dron di kawasan bukit berhampiran Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

“Dron yang dinaikkan itu menuju ke ruangan udara penjara sebelum kami menerima maklumat berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu BH melaporkan polis menahan tiga lelaki yang dipercayai cuba menyeludup barang terlarang ke Pusat Pemulihan Akhlak Machang dengan menggunakan dron pada 12 Disember lalu.

Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima maklumat berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh pusat pemulihan akhlak pada jam 1.05 pagi.

Muhamad Zaki dalam kenyataan dilaporkan berkata dron berkenaan dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan penjara.

Katanya, hasil tindakan segera dan siasatan bersama pihaknya dengan Penjara Machang mendapati teknologi peranti pengesan yang digunakan pengendali dron berjaya dikesan di kawasan berdekatan dengan penjara iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1045489/dron-pantau-kawasan-sebelum-seludup-tembakau-ke-penjara

 

Leave a Comment