GAMBAR ATAS: The Star.
GEREJA St Anne di Bukit Mertajam, yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia beragama Kristian setiap kali perayaan tahunan St Anne, akan diisytiharkan secara rasmi sebagai basilika kecil pada 9 Januari tahun depan, kira-kira tiga tahun selepas menerima dekri daripada Pope Francis.
Basilika kecil bermaksud gereja yang ditetapkan oleh Pope sebagai tempat ibadat istimewa. Penamaan gereja sebagai basilika adalah pengiktirafan terhadap kepentingan sejarah, rohani, dan seni binanya.
Portal berita FMT melaporkan bahawa gereja di tanah besar Pulau Pinang tidak dapat mengadakan upacara khusyuk lebih awal kerana sekatan akibat pandemik Covid-19, dan satu upacara sembahyang khas akan diadakan untuk meraikan kenaikan statusnya bulan depan.
“Gereja St Anne adalah satu-satunya gereja di Malaysia yang diberi penghormatan tersebut. Pada masa ini terdapat 25 basilika kecil di Asia Tenggara — 21 di Filipina dan empat di Vietnam.
Gereja St Anne terkenal dengan penganjuran perayaan tahunan Pesta St Anne pada Julai apabila lebih 100,000 orang, termasuk warga asing dari Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Australia, berkumpul meraikan upacara selama 10 hari itu.
Perayaan itu disambut oleh penganut Katolik untuk menghormati nenek Yesus Kristus, St Anne.
Laporan itu menjelaskan bahawa semasa upacara, gereja tersebut akan diberikan penghormatan untuk mempamerkan simbol Pope: “ombrellino” (payung kecil) serta kanopi sutera dengan warna kuning dan merah yang menandakan warna tradisional Pope.
Gereja juga akan memaparkan tintinnabulum (loceng) yang dipasang pada tiang untuk menandakan hubungannya dengan Pope. Logo kunci bersilang St Peter dipaparkan pada sepanduk gereja, perabot dan pada lambang basilika kecil. Kunci merujuk kepada janji Kristus kepada Petrus dan melambangkan hubungan berterusan antara Basilika dan Paus.
Biskop Roman Catholic Bishop Pulau Pinang, Sebastian Francis berkata permohonan untuk  memartabatkan gereja itu bukan kerana sejarahnya yang hampir dua abad, tetapi lebih kepada keupayaannya menarik orang ramai dari semua lapisan masyarakat.
Setiap Julai, ratusan ribu orang berduyun-duyun ke gereja itu untuk merayakan pesta tersebut dengan acara antara lain, perarakan menyalakan lilin yang diadakan pada malam hari perayaan.
-BTS Media