Oleh Zainal AS Rashid
SEORANG pesara kerugian RM128,037 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam.
Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 60-an itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa dirinya pegawai di Mahkamah Pulau Pinang pada 14 Dis yang mengatakan kononnya saman mahkamah telah dikeluarkan terhadap mangsa kerana gagal menyelesaikannya tunggakan Touch ‘n Go berjumlah RM11,800.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada beberapa individu menyamar sebagai anggota polis yang memberitahu mangsa bahawa dia juga mempunyai rekod jenayah sebelum memintanya memindahkan wang bagi mengelak akaunnya dibekukan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (24 Dis).
Mangsa kemudian memindahkan wangnya berjumlah RM128,037 secara berperingkat ke dalam akaun yang disediakan oleh salah seorang suspek.
Dia hanya menyedari ditipu selepas melakukan transaksi itu, kemudian membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Temerloh semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-BTS Media