BTS Media

Majlis Bandaraya Subang Jaya roboh 25 gerai

Oleh Fetty Rara

SEJUMLAH 25 gerai yang beroperasi secara haram di sepanjang Jalan Taqwa di Puchong Permai, Selangor, dirobohkan dalam operasi yang diketuai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar berkata, operasi itu dijalankan bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf infrastruktur jalan raya, lapor The Star.

“Naik taraf itu termasuk pembinaan laluan pejalan kaki di kedua-dua belah bahagian, pembaikan jalan, pembaikan turapan, menambah papan tanda jalan dan menandakan semula lorong,” katanya.

Kira-kira 200 anggota, termasuk unit penguat kuasa MBSJ dan agensi seperti Pejabat Tanah Petaling, polis daerah Subang Jaya, Jabatan Imigresen Selangor, Tenaga Nasional Bhd dan Air Selangor, berada di lokasi semasa operasi pada Rabu berhampiran bulatan Persiaran Puchong Permai.

Beberapa pemilik gerai turut hadir, tetapi kebanyakannya sudah memindahkan barang-barang mereka.

Johary berkata pada asalnya terdapat 36 gerai haram di tapak itu, di mana peniaga telah diberi notis untuk mengosongkan sejak 28 Dis 2020, sebelum struktur dirobohkan.

Lima gerai telah dirobohkan apabila tarikh akhir tamat sebelum ini, tetapi tindakan lanjut ditangguhkan selepas kerajaan negeri mengarahkan MBSJ mengenal pasti tapak baharu untuk pemilik gerai berkenaan.

“Tiga daripada 36 pemilik gerai bersetuju berpindah ke pusat penjaja di Dataran Puchong Permai apabila ditawarkan, manakala beberapa lagi memutuskan untuk berpindah ke tempat lain.

“Tawaran itu masih terbuka bagi 25 pemilik gerai untuk berpindah ke tapak baharu,” kata Johary.

Beliau berkata, operasi pagi semalam berjalan lancar kerana semua pihak memberi kerjasama.

“MBSJ akan menutup Jalan Taqwa selama tiga hari mulai hari ini (21 Dis) untuk membersihkan tapak sebelum meneruskan kerja naik taraf,” katanya.

Kerja naik taraf jalan yang dianggarkan mengambil masa dua bulan, akan bermula pada Januari tahun depan dengan kos RM500,000.

-BTS Media

Leave a Comment