Oleh Yusoff A. Shariff
JUMLAH mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 25,354 orang pagi ini berbanding 11,600 orang semalam.
Mangsa daripada 6,897 keluarga kini berteduh di 133 pusat pemindahan banjir di sembilan daerah, lapor NST.
Kecuali Gua Musang, daerah lain di Kelantan dilaporkan terjejas akibat banjir.
Hujan lebat berterusan turut menyebabkan paras air di lapan sungai berada di atas paras bahaya setakat pukul 9.30 pagi.
Sungai yang terjejas termasuk, di Kuala Krai, Kampung Pahi, Kampung Tualang, Kampung Sungai Nal, Kampung Jenob, Rantau Panjang dan Tumpat.
Paras air Sungai Kelantan di Jeti Sultan dan Sungai Semerak di Bachok berada di atas paras amaran.
Banjir turut mengakibatkan beberapa jalan raya di Kelantan ditutup kepada semua kenderaan apabila laluan ditenggelami air antara 0.3m hingga 1m.
Jalan raya terjejas termasuk Jalan Kota Baru-Kuala Krai, Jalan Tanah Merah-LubokJong dan Jalan Sungai Durian-Chenulang.
-BTS Media