BTS Media

Ahmad Jazlan dilantik semula Pengerusi FELCRA

BEKAS Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub akan dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi,  berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Beliau berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

“Saya tak boleh untuk tak setuju untuk memberikan kepercayaan semula kepada Datuk Ahmad Jazlan. Dengan ini saya mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Datuk Ramlan Harun) untuk mengeluarkan surat pelantikan semula dengan sesegera yang mungkin, tertakluk kepada persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali telah mengumumkan  bahawa semua pelantikan politik dalam badan berkanun di peringkat kerajaan pusat dan syarikat berkaitan kerajaan akan ditamatkan serta-merta.

“Menteri sudah bersetuju atas arahan Timbalan Perdana Menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu,” katanya pada Majlis Sambutan 40 Tahun serta Mesyuarat Agung Perwakilan Kali ke-40 koperasi berkenaan semalam.

Ahmad Zahid berkata, Ahmad Jazlan sebelum ini antara pengerusi GLC lantikan politik yang sudah menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi FELCRA, susulan pembentukan kerajaan baru, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

FELCRA Berhad pada 3 Oktober tahun lalu mengumumkan pelantikan Ahmad Jazlan sebagai pengerusi baharunya.

Lembaga Pengarah FELCRA Berhad berkata, pelantikan Ahmad Jazlan, 58, langkah strategik bagi memacu komitmen pengurusan tertinggi dalam menjayakan pelan transformasi dan hala tuju ke arah kelestarian syarikat.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1040413/ahmad-jazlan-dilantik-semula-pengerusi-felcra

Leave a Comment