Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata yang sepatutnya dibubarkan ialah UMNO, dan bukan PAS.
Rasional beliau ialah kerana Islam telah lama menjadi dasar PAS.
Beliau berkata demikian sebagai menempelak cadangan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan supaya parti itu dibubarkan.
“Jika benar ada cadangan seperti itu, eloklah UMNO dibubarkan kerana dasar Islam sudah lama menjadi dasar PAS, jika asas itu yang UMNO cadangkan, tetapi ia (bubar PAS) tentunya tidak akan menjadi kenyataan.
“Kita perlu hormati hak parti politik untuk bergerak dan terlibat dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya.
Menteri alam sekitar dan air itu berkata, paling penting sekarang ialah memperkukuhkan kerjasama politik antara satu sama lain, lapor Berita Harian.
Semalam (Rabu 11 Mei), Ahmad dilaporkan berkata, PAS boleh dibubarkan kerana UMNO juga membawa “wadah perjuangan Islam” selepas pemindaan perlembagaan parti itu pada 2019.
-BTS Media