BTS Media

SPRM terima maklumat berhubung dakwaan dana RM600 bil diseleweng

Oleh Yusoff A. Shariff

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima maklumat pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan oleh kerajaan pada 2020 dan 2021semasa pandemik Covid-19.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan bahawa butiran berkenaan diperoleh daripada Kementerian Kewangan dan hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

“Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan, manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Oleh itu, SPRM berkata siasatan akan tertumpu pada dana berjumlah RM92.5 bilion.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM minggu hadapan.

Pada Khamis lalu, SPRM memaklumkan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan berhubung dakwaan kononnya berlaku penyelewengan dana berjumlah RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu.

Susulan itu, kertas siasatan dibuka bagi menyiasat dakwaan berkenaan, dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu.

Isu berhubung penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion semasa pandemik Covid-19 itu sebelum ini dipersoalkan pada 15 November lalu oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kemudiannya mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa kononnya diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

-BTS Media

Leave a Comment