PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Isnin untuk memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat terhadapnya baru-baru ini.
Ini disahkan setiausaha akhbar presiden PAS, Abdul Malik Ab Razak.
“Dimaklumkan, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan hadir ke IPD Sentul pada pukul 3.00 petang hari ini, untuk memberi keterangan, susulan laporan polis dibuat oleh beberapa pihak terhadap beliau,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) pada 10 Nov telah membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.
Menurut setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta anti tuhan dalam majlis di Temerloh, Pahang.
-BTS Media