GAMBAR ATAS: BTS Media.my
SEJARAH bakal dicipta apabila perwakilan, pemimpin dan pemerhati UMNO berhimpun di dewan ibu pejabat parti itu esok.
Kali ini, buat kali pertama Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan berkumpul untuk bersidang hanya sebagai sebahagian daripada gabungan kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP yang begitu lantang ditentang oleh UMNO sejak beberapa dekad lalu.
Mantera ‘No Anwar, No DAP’ kini sekadar memori lampau yang telah hilang dengan sekelip mata selepas kerajaan perpaduan ditubuhkan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, dan sekali gus PH juga tidak lagi dilakarkan sebagai ‘musuh’ UMNO. Pelik, tapi benar.
Maka itu, pada perhimpunan kali ini pastinya tidak akan ada lagi perwakilan gah dengan penuh emosi berhujah membakar semangat seluruh ahli parti untuk meneruskan ‘pertempuran’ dengan PH dan DAP.
Kali ini jika ada pun, serangan mungkin diarahkan pula kepada sebuah gabungan parti yang dikuasai Melayu, Perikatan Nasional (PN).
Perhimpunan yang bakal berlangsung esok (Khamis 12 Jan) diadakan selepas presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi ‘menyerah’ untuk bekerjasama dengan PH bagi menubuhkan kerajaan pusat.
Ia juga membawa kepada pakatan antara PH dan BN di beberapa negeri, termasuk Pahang dan Perak yang seterusnya mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU15) pada 19 Nov 2022.
Perhimpunan pasca PRU15 ini juga akan menyukat sejauh mana para perwakilan menerima, mentafsirkan atau menolak kerjasama UMNO bersama PH dan juga DAP yang menganggotai gabungan tersebut.
Sehubungan itu, Malaysiakini, dalam satu rencana ulasan hari ini menjangkakan akan terdengar suara bantahan terhadap pembabitan UMNO dalam“percaturan strategik” di bawah kerajaan perpaduan.
Ia akan menunjukkan sejauh mana UMNO dapat menguruskan perkara ini dan sejauh mana keterbukaan parti itu untuk mendengar suara hati akar umbi.
Perwakilan dan juga pemerhati akan menantikan apa inti pati ucapan Ahmad Zahid dan sama ada ia akan mudah diterima oleh semua ahli.
Apakah beliau akan terus meratibkan justifikasi bagi menyahihkan kerjasama UMNO dengan PH, atau menyampaikan ayat-ayat bagi membela dirinya di atas langkah tersebut?
Tumpuan juga dijangka diberikan kepada prinsip UMNO sebelum ini, kononnya ‘No Anwar, No DAP, No Bersatu’.
Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada ucapan dasar presiden yang akan menjadi ‘anchor’ kepada perbahasan berani perwakilan yang boleh menyentuh apa sahaja isu, terutama perpecahan di antara puak Ahmad Zahid dan puak yang menolak beliau, iaitu kem naib presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob dan bekas naib presiden Hishamuddin Hussein.
PAU 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) dengan dihadiri oleh 6,198 perwakilan dan pemerhati.
-BTS Media