Oleh Yusoff A. Shariff
DATUK Seri Anwar Ibrahim telah mengingkari janji tadbir urus baik yang digembar-gemburkannya semasa tempoh kempen PRU15 apabila beliau menamakan kabinetnya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Perikatan Nasional (PN) itu melabelkan barisan yang diumumkan oleh Anwar pada Jumaat sebagai “paling mengecewakan dalam sejarah negara”.
“Seseorang yang diarah membela diri di mahkamah terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Tindakan Anwar adalah seperti menjual maruah negara – semata-mata kerana keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Kabinet kleptokrat ini, yang dibentuk atas dasar penipuan terhadap mandat rakyat, tidak mempunyai sebarang legitimasi untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan semalam.
Beliau yang juga mengkritik Anwar kerana memegang jawatan Menteri Kewangan, berkata ini membawa kepada pemusatan kuasa dan kemungkinan rasuah berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB.
Muhyiddin juga mempersoalkan bagaimana rakyat dan pelabur boleh meletakkan kepercayaan mereka kepada kepimpinan Anwar sekarang, kerana beliau mendakwa barisan Kabinet menunjukkan Anwar telah melanggar prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Beliau juga mendakwa bahawa pelantikan beberapa individu yang terkenal dengan cauvinisme melampau untuk menerajui kementerian tertentu akan mengundang kontroversi, selain memudahkan pengenalan dasar berasaskan kaum ekstrem.
Muhyiddin berkata agenda reformasi yang diperjuangkan oleh Anwar kini sekadar laungan kosong apabila beliau tidak dapat mempertahankan perjuangan partinya sendiri untuk memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik.
“Nilainya sebagai pemimpin sejati yang patut dihormati dan bermaruah kini amat dipersoalkan,” katanya.
-BTS Media