BTS Media

Polis mula siasat Hadi berhubung dakwaan Anwar “ejen Israel”

POLIS memulakan siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim “ejen Israel”.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman itu dilakukan susulan laporan yang diterima.

“Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata Anwar mengarahkan polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak menyebarkan fitnah mengaitkan beliau dengan beberapa dakwaan serius.

Fahmi berkata, ia termasuk tuduhan kononnya Anwar bertindak sebagai “ejen Israel”.

Pada Isnin, tular rakaman audio sepanjang 58 saat seorang wanita yang mengulas tentang pelantikan Anwar sebagai perdana menteri yang didakwa dipengaruhi Israel.

Wanita itu mendakwa Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad memberitahunya ketika bersama Hadi, bahawa pelantikan perdana menteri menemui jalan buntu berikutan keputusan PRU15.

Dia mendakwa Hassan memaklumkan Perikatan Nasional (PN) telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu, bagaimanapun mendakwa Anwar memberi tekanan dengan “menghubungi Israel dan kuasa asing” untuk campur tangan dalam proses itu.

Sementara itu, menurut laporan Sinar Harian hari ini, Hassan menafikan pernah menyebarkan kenyataan mengaitkan wujud pengaruh Israel dalam pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

Beliau menafikan ada kaitan dengan audio tersebut.

Hassan berkata, suara wanita berkenaan juga tidak dikenalinya dan menegaskan tidak pernah mengaitkan isu Israel dengan Anwar dalam mana-mana ceramah kempen PRU15.

-BTS Media

Leave a Comment