BTS Media

Ikmal Hisham kemuka tuntutan RM500,000 daripada Rafizi kerana fitnah

Oleh Fetty Rara

TUNTUTAN sebanyak RM500,000 dikemukakan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli susulan kenyataan yang didakwa fitnah berhubung isu perolehan meriam Self-Propelled Howitzer (SPH) yang dibuat terhadap Ikmal Hisham Abdul Aziz sekeluarga.

Ikmal Hisham yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, turut menuntut supaya Rafizi memadamkan kenyataan fitnah itu, dan berhenti menyebar, serta mengulangi  fitnah terhadap beliau dan isteri.

Rafizi, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi parlimen Pandan perlu memohon maaf secara terbuka dan membersihkan nama Ikmal Hisham dan isteri yang didakwa telah tercalar.

“Sekiranya tuntutan-tuntutan ini gagal ditunaikan dalam tempoh tujuh hari, pihak saya akan meneruskan kes ini dengan tindakan sivil di mahkamah.

“Tindakan yang saya ambil ini adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tanggungjawab menjaga keselamatan keluarga.

“Berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar, takut kerana salah’ saya bersedia ke mahkamah untuk membersihkan nama saya daripada fitnah tidak bertanggungjawab dibuat oleh Rafizi.

“Janganlah sekali-kali melibatkan anak isteri sesiapa pun dalam berpolitik semata-mata ingin meraih undi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Rafizi sebelum ini dilaporkan terus membuat ‘pendedahan’ berhubung apa yang didakwanya sebagai pembabitan Ikmal Hisham dalam kontrak perolehan SPH.

-BTS Media

Leave a Comment