GAMBAR ATAS: APM Kelantan.
Oleh Yusoff A. Shariff
SEBANYAK enam daripada lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan bertindih fungsi dengan pusat mengundi di negeri ini setakat Selasa.
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata usaha sedang dilakukan untuk mencari jalan terbaik supaya proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini tidak terjejas.
“Enam daripada lapan PPS melibatkan sekolah di kawasan itu bertindih dengan pusat pengundian tetapi telah diambil tindakan.
“Mungkin dikekalkan sekolah sama tetapi bangunan untuk menempatkan mangsa banjir dan mengundi diasingkan,” katanya pada sidang media selepas melawat ke pusat pengundian awal di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Baru pada Selasa.
Menurutnya, beliau telah melihat bangunan yang sesuai bagi melakukan perubahan laluan pintu masuk antara mangsa banjir dan pengundi.
“Perancangan mengundi untuk mangsa-mangsa banjir berada di PPS juga sudah siap sedia melibatkan pengangkutan dan penempatan sesuai yang tidak jauh dari tempat mengundi,” katanya.
Berdasarkan maklumat pada aplikasi Info BencanaJKM sehingga pukul 6.oo petang Selasa, terdapat sejumlah 3,098 mangsa di enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Selangor, Perak, Melaka dan Kedah dengan 28 PPS dibuka di seluruh negara.
Mangsa paling ramai dicatatkan di Kelantan dengan jumlah 2,090 orang diikuti Perak (375), Johor (346), Selangor (184), Melaka (61) dan Kedah (42).
-BTS Media