BTS Media

Gelar ‘Bapa PKP’ pun tak apa, tapi PKP Covid-19 selamatkan banyak nyawa – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berasa terganggu dengan gelaran ‘Bapa PKP’ yang diberikan oleh Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, semasa menjadi perdana menteri ke-9, tindakan beliau melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda Covid-19 telah menyelamatkan banyak nyawa.

“Anwar Ibrahim kata saya ‘bapa PKP’. Saya bangga. Dia tidak sedar kalau hari itu (semasa Covid-19), jika saya tidak buat PKP, berapa banyak sudah jangkit dan mati,” katanya ketika berucap dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram.

Anwar sebelum ini mendakwa kegagalan Muhyiddin menguruskan pandemik Covid-19 telah menyebabkan sehingga kira-kira 36,000 orang terkorban.

Menjawab tuduhan Anwar itu, Muhyiddin berkata lebih empat juta rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19, tetapi 99% daripadanya selamat dan sihat.

“Saya ingat Anwar pergi sekolah tinggi di Universiti Malaya (UM) dengan saya tetapi dia kata 36,000 itu yang paling besar di dunia.

“Di Amerika Syarikat (AS), 1.6 juta mati sebab Covid-19. Bagaimana dia boleh kata 36,000 adalah tinggi (daripada itu),” katanya.

Berhubung saranan Anwar supaya beliau mengisytiharkan harta, Muhyiddin berkata beliau telah terlebih dahulu melakukannya sebelum ini. Bagi beliau pula pengisytiharan harta ketika PRU15 hanyalah gimik.

“Saya sudah ada pengalaman. Dah hantar pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Saya dah disiasat.

“Kalau saya jadi perdana menteri, saya wajib isytihar. Sekarang tidak perlu lagi. Yang penting kita bersih dan terbukti ‘track record’ PN bersih,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment