MESKIPUN kes jangkitan COVID-19 masih merekodkan empat digit, situasi penularan wabak pandemik itu masih terkawal sekali gus tidak memungkinkan sekatan ketat seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau yakin dengan pengalaman luas dan tahap persediaan tinggi Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi penularan COVID-19 ketika ini.
Justeru, katanya apa yang harus dilakukan sekarang adalah dengan memberi peringatan kepada masyarakat supaya terus berwaspada dengan penularan COVID-19 bagi mengelak penguatkuasaan semula langkah ketat bagi membendung wabak itu di negara ini.
“Daripada laporan KKM tadi semuanya dalam keadaan terkawal. Mereka pantau dan ada langkah-langkah yang mereka telah dan sedang ambil untuk menentukan keadaan masih boleh dikawal.
“Yang agak membimbangkan ialah di banyak negara lain sudah ada peningkatan kes. Di Malaysia ini ada sedikit (kes) tetapi tidak menganggu usaha yang sedang dibuat untuk mengawal keadaan.
“Menerusi penjelasan oleh KKM tadi mereka sudah pun bersedia…pengalaman lebih dua tahun menguruskan COVID-19 memberikan mereka pengajaran dan sudah ambil langkah yang perlu.
“Justeru, kita pun berharap tidak ada berulang lagilah cerita dahulu yang menyebabkan kita terpaksa kawal balik sempadan dan kenakan PKP. Orang tak nak dengar lagi sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Sasana Kijang Bank Negara (BNM), hari ini.
Berhubung penularan wabak cacar monyet yang melanda dunia ketika ini, Muhyiddin berkata perkara itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat MPN pada kali ini.
Justeru, Muhyiddin berkata MPN mengesyorkan kepada KKM supaya mempertingkatkan lagi pemantauan dan nasihat tentang cacar monyet.
Ia termasuk cadangan supaya KKM mempertingkatkan pemantauan di pintu masuk antarabangsa negara.