BTS Media

Khairy mahu ‘bersihkan’  UMNO yang dianggapnya ‘tersesat’

Oleh Yusoff A. Shariff

KHAIRY Jamaluddin mengaku tidak suka kepada sesetengah pemimpin UMNO dan berhasrat membersihkan parti itu sekiranya beliau menang di Sungai Buloh sebagai calon BN pada pilihan raya umum ini.

Beliau mahu membawa perubahan kepada UMNO dan membawa parti itu kembali sebagai wadah mulia untuk masyarakat Melayu.

Menurut beliau, ini kerana ramai yang memberitahunya bahawa mereka tidak suka sesetengah individu dalam UMNO.

Beliau berkata, media tidak sepatutnya membandingkan beliau dengan presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, tetapi ia adalah kebenaran dan kenyataan.

Katanya lagi, beliau dan rakan-rakan mahu mengembalikan UMNO sebagai parti politik Melayu yang mulia, bersih, berkembang, mempunyai pemimpin yang baik dan boleh dipercayai seperti dahulu.

Khairy berkata demikian ketika berucap di Majlis Silaturahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat di Kelab Rahman Putera, Sungai Buloh, Selangor malam tadi.

Seterusnya, beliau menegaskan secara sinis bahawa terdapat keperluan untuk mengakui bahawa UMNO perlu berubah untuk mengembalikan kegemilangan dahulu.

Beliau antara lain mengaku bahawa UMNO sudah sesat dan perlu diperbetulkan supaya parti itu kembali ke pangkalnya.

“Kami bercakap benar. Janganlah kita berselindung lagi. Orang Melayu sentiasa mempunyai perasaan sentimental terhadap UMNO. Cuma UMNO sudah sesat dan perlu kembali ke pangkalnya dan perlu diperbetulkan semula.

“Saya mahu menang PRU15 untuk memastikan Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai perdana menteri. Selepas itu, kita akan bersihkan UMNO dan kembalikan keyakinan rakyat.

“Saya seorang reformis dalam UMNO dan saya tidak boleh tutup mulut. Sebab itu saya dihantar ke Sungai Buloh. Jika tiada siapa yang berani tampil ke hadapan, keadaan tidak akan berubah.

Merujuk kepada keputusannya untuk bertanding di Sungai Buloh, beliau berkata ini pertama kali ada wakil UMNO yang merupakan menteri kabinet, berani bertanding di kawasan tidak selamat di Selangor.

“Selama ini, tokoh besar dalam parti saya (UMNO) sentiasa mencuba dan memilih tempat selamat. Sebab itu tiada saingan hebat di Selangor. Dahulu hanya Noh Omar yang menang. Itu di Tanjung Karang.

-BTS Media

Leave a Comment