GAMBAR ATAS: By Aliff MR – Own work, CC BY-SA 4.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=108248095
Oleh Fetty Rara
GANGGUAN sistem isyarat LRT Kelana Jaya pada petang Selasa (8 Nov) telah menyebabkan beberapa tren “hilang” secara berselang-seli pada skrin pemantauan pusat operasi dan kawalan LRT, justeru menimbulkan bahaya besar, kata Prasarana Malaysia.
Perkara ini didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah pada semasa sidang media di Petaling Jaya pada Khamis (10 Nov) ketika beliau memberi maklumat terkini mengenai langkah-langkah terbaharu untuk menyelesaikan masalah yang menjejaskan laluan meliputi 16 stesen -dari Kelana Jaya ke Ampang Park bermula Sabtu lalu (5 Nov).
“Kereta api tidak dapat bergerak secara automatik, ia menunjukkan berlaku masalah.
“Kami tidak dapat melihat pada skrin, dan itu sangat penting bagi kami.
“Sebagai organisasi yang bertanggungjawab, kami terpaksa membuat keputusan sukar untuk menggantung operasi (selama seminggu bermula 9 Nov). Kami akui ia amat menyusahkan orang ramai, tetapi kami pastinya tidak mahu kejadian Mei 2021 berulang (di mana dua kereta api, satu dipandu secara manual, bertembung di dalam terowong antara Kampung Baru dan KLCC).
Tambahnya, para jurutera Rapid KL telah mengendalikan tren antara Ampang Park dan KLCC pada pukul 10.00 malam tadi (Rabu9 Nov) bagi mendapatkan data untuk analisis.
“Pengeluar peralatan asal sistem isyarat tren, Thales Group, akan meneliti log ujian malam ini.”
Sejak beberapa hari lalu, jurutera Rapid Rail telah melakukan kemas kini perisian, menukar modem dan menggantikan komponen bekalan kuasa untuk mengesan punca kehilangan isyarat, yang mengancam operasi rel automatik sepenuhnya.
Lazimnya, sebarang kehilangan isyarat pada sistem metro automatik akan menyebabkan pengaktifan brek kecemasan yang sama ada menghentikan tren di mana sahaja ia berada, atau menyebabkan tren bergerak menggunakan “mod perlahan” untuk meminimumkan risiko.
Bagi penumpang, ia boleh menyebabkan perjalanan tersentak-sentak, atau pun tren berhenti lebih lama daripada yang diperlukan di platform.
Bagi tren yang dihentikan di antara stesen, adalah amalan biasa bagi juruteknik mengendalikannya untuk “reset” sistem, sebelum ia boleh bergerak. Dalam keadaan ini, kadangkala pemanduan secara manual mungkin diperlukan, bergantung pada jenis masalah.
Bagaimanapun, pemanduan secara manual di laluan perkhidmatan tinggi boleh menimbulkan satu lagi faktor yang berisiko menjejaskan keselamatan. Ini tidak akan dikompromikan oleh mana-mana pengendali yang bertanggungjawab.
-BTS Media