PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tahap integriti yang dimiliki gabungannya lebih tinggi berbanding pesaing mereka.
Ini kerana gabungan itu menetapkan syarat bahawa setiap calon perlu membuat aku janji serta menjalani tapisan yang ketat.
Menurutnya, tindakan itu tidak dibuat parti-parti gabungan lain apabila calon-calon yang dipilih tidak ditapis sebaiknya.
“Jika mereka (calon) didapati ada kes jenayah, sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah atas kesalahan rasuah mereka tidak dibenarkan bertanding.
“Ini standard atau ‘benchmark’ yang ditetapkan oleh PN. BN dan Pakatan Harapan (PH) mungkin mempunyai standard atau ‘benchmark’ yang lebih rendah daripada PN dalam isu integriti.
“Sebab itu orang yang sedang berdepan pertuduhan di mahkamah atas kesalahan jenayah rasuah pun dibenarkan bertanding dalam pilihan raya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PN di Shah Alam pada Ahad.
Pada majlis itu menyaksikan PN melancarkan manifesto PRU15 yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil.’
Tawaran itu menetapkan sebanyak 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran yang dirangka bagi mencapai kemakmuran berterusan dan membina masyarakat inklusif.
Tambah Presiden BERSATU yang juga calon Parlimen Pagoh itu, beliau yakin rakyat ketika ini bijak menilai integriti sesebuah parti atau calon.
“Itu masalah mereka, bukan masalah kita. Saya yakin rakyat tahu menilai siapa yang lebih komited dan rela berkorban semata-mata untuk memastikan negara kita bebas rasuah dan terselamat daripada cengkaman kleptokrat,” katanya.