MACHANG – Lapan beranak di Kampung Kuala Ayer Merah di sini menjadikan bangsal pakaian terpakai sebagai tempat tinggal mereka lebih sebulan lalu.
Zuraini Pauzi, 47, mengajak tujuh anaknya yang berusia antara tiga hingga 18 tahun tinggal di situ kerana tidak lagi mampu menyewa kediaman yang lebih selesa.
Menurutnya, sebelum ini dia menyewa rumah tidak jauh dari bangsal itu pada kadar RM100 sebulan.
“Mujur ada bangsal kakak yang sebelum ini digunakan menyimpan baju terpakai untuk jualan, dapatlah kami menumpang teduh,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika menerima kunjungan dan sumbangan Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed.
Ibu kepada 12 anak itu juga mengakui keadaan bangsal yang sempit dan tidak berdinding mengakibatkan mereka terdedah dengan cuaca hujan dan bahaya terutama pada waktu malam.
Selain itu, Zuraini sekeluarga terpaksa menumpang tandas dan bilik air di rumah kakaknya selain berkongsi kemudahan elektrik.
Wanita itu kini bekerja sebagai tukang rumah untuk mencari rezeki mengalas perut anak-anaknya termasuk seorang kategori orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.
“Saya tidak mahu membebankan ibu dan kakak kerana mereka juga banyak tanggungan lain.
“Ibu pula tidak dapat bergerak aktif selepas kudung kedua-dua belah kaki akibat kencing manis,” ujarnya.
Justeru Zuraini bekerja sebagai tukang rumah dengan upah RM50 sehari.
Tambah Zuraini, tiga anaknya yang bekerja di Johor Bharu turut membantu dengan mengirimkan wang tetapi cukup untuk perbelanjaan harian.
“Dalam kepayahan kami, ada penduduk kampung yang bersimpati dan berkongsi makanan,” katanya.
Akibat kemiskinan hidup juga menyebabkan wanita itu menyerahkan dua anaknya kepada saudara terdekat ketika masing-masing berusia tiga hari.
Sebagai ibu katanya, keputusan itu terlalu sukar tetapi terpaksa bagi memastikan mereka dapat hidup selesa dan berjaya dalam pelajaran.
“Dua anak saya iaitu Muhammad Mubarak Mohamad Albab, 16, hanya bersekolah sehingga Tahun Enam dan Nor Azmida Balqis, 14, mengambil keputusan berhenti pada awal Januari lalu,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zuraini Fauzi di 013-2900936 atau menghulurkan sumbangan melalui Bank Islam di nombor 03045024681222 atas nama Muhammad Mubarak.