GAMBAR ATAS: Jabatan Bomba.
Oleh Fetty Rara
DUA orang patah kaki, sementara empat lagi terselamat apabila sebuah lif terjatuh dari tingkat lapan blok kondominium di Lengkok Thamby Abdullah, Brickfields semalam.
Ketika kejadian pada kira-kira pukul 9.45 malam itu, lif dinaiki oleh tiga wanita, dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 9.52 malam.
“Seramai 11 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Di lokasi, kami mendapati lif di blok berkenaan terjatuh dari tingkat lapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang penumpang lelaki dan seorang wanita patah kaki, dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
Punca kejadian masih disiasat.
-BTS Media