BTS Media

Sekurang-kurang 31 maut dalam banjir, tanah runtuh di selatan Filipina

TOP PIX: BARMM-READi.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

HUJAN lebat di wilayah autonomi Islam selatan Filipina semalam yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir besar telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 31 orang. Sembilan individu masih dilaporkan hilang.

Kebanyakan mangsa dihanyutkan oleh air banjir yang mengalir deras atau dilanda banjir lumpur yang dipenuhi serpihan kayu dan balak di tiga bandar wilayah Maguindanao yang paling teruk terjejas, kata Naguib Sinarimbo, menteri dalam negeri bagi wilayah autonomi Islam lima wilayah Filipina itu.

Beliau memberitahu media bahawa kadar hujan lebat luar biasa menyebabkan air dari kawasan gunung mengalir deras dan menyebabkan sungai melimpah.

Beliau berkata beberapa perkampungan masih belum dapat diakses, walaupun hujan reda sejak pagi tadi, dan banjir mula surut.

Sinarimbo berkata maklumat daripada datuk bandar, gabenor dan pegawai pengurusan bencana, 26 maut kebanyakannya akibat lemas di pekan pesisir pantai berdekatan Datu Odin Sinsuat dan Datu Blah Sinsuat serta lima lagi maut di bandar Upi, semuanya di Maguindanao.

Datuk Bandar Datu Blah Sinsuat berkata di kawasannya lima penduduk hilang, sementara empat lagi hilang di kawasan lain.

Pasukan penyelamat telah dikerahkan ke Kusiong, sebuah perkampungan orang asli di kaki gunung di Datu Odin Sinsuat untuk menyiasat laporan bahawa banjir dan tanah runtuh turut melanda kawasan penduduk di situ.

Hujan lebat luar biasa yang mencetuskan banjir di beberapa bandar di Maguindanao dan wilayah terpencil kawasan pergunungan dan dataran paya disebabkan oleh Ribut Tropika Nalgae, yang dijangka melanda pantai timur negara itu dari Lautan Pasifik pada pagi Sabtu, menurut jabatan meteorologi.

-BTS Media

Leave a Comment