BTS Media

Berjuta penghisap vape berdepan risiko penyakit Evali, kata Khairy

PENGGUNA rokok elektronik atau vape berisiko menghidap penyakit kecederaan paru-paru dikenali sebagai “E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury” (Evali) yang boleh menyebabkan kecacatan kekal pernafasan dan kematian.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia dan jumlah itu semakin bertambah menyebabkan penyakit Evali perlu dipantau.

“Penyakit Evali mula didiagnosis pada 2019 di Amerika Syarikat (AS) apabila 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian dicatatkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran “Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Evali”.

Sehingga kini, katanya, terdapat dua kes direkodkan di Malaysia pada 2019, manakala lapan kes pada 2021, selepas dikenal pasti melalui kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Namun, jumlah yang dilaporkan ini berkemungkinan lebih rendah daripada jumlah kes sebenar akibat tiadanya garis panduan serta penerangan tentang Evali.

“Penyakit ini sangat bahaya dan ia wujud, dan mitos mengatakan ia lebih selamat daripada rokok tembakau, tapi tidak bermakna ia sifar risiko,” katanya.

Khairy berkata, bermula Jun hingga September lalu, iaitu selepas arahan notifikasi dikeluarkan, empat kes disyaki Evali dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan yang kini dalam siasatan lanjut.

Beliau berkata, walaupun data Evali di AS menunjukkan vitamin E-Asetat adalah bahan kimia yang banyak dijumpai dalam kajian makmal cecair e-liquid, bahan kimia lain juga berisiko menyebabkan Evali.

“Walaupun Evali hanya bertumpu pada sistem pernafasan, penggunaan rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan gejala-gejala selain gejala pernafasan seperti kebas anggota badan, berdebar-debar dan halusinasi.

“Keadaan ini sangat berisiko dan dapat meningkatkan kadar morbiditi dan kematian. Malah, anggaran kos merawat seorang pesakit Evali yang dimasukkan ke hospital selama empat hari adalah RM50,297.37.”

Bagi memantau perkara ini, katanya, dua kriteria utama yang perlu bagi diagnos Evali iaitu sejarah pendedahan kepada rokok elektronik atau vape dan perubahan radiologi pada x-ray atau CT-Scan paru-paru.

“Berdasarkan definisi Evali oleh CDC pada 2019, pengesanan dan rawatan awal boleh diberikan kepada pesakit yang disahkan menghidap Evali supaya komplikasi jangka panjang dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kos rawatan.

“Bayangkan jika intervensi awal tidak dilakukan ataupun tabiat ini tidak dicegah, pastinya beban kerajaan dalam menanggung kos rawatan penyakit akibat komplikasi rokok konvensional dan rokok elektronik akan bertambah.”

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/20/berjuta-pengguna-vape-berdepan-risiko-penyakit-evali-kata-khairy/

Leave a Comment